2415829

Desas-desus mengenai masa depan penyerang Perak FC Wan Zack Haikal Wan Noor terjawab apabila pengurusan ‘The Bos Gaurus’ bersetuju mengekalkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsudin berkata pemain berusia 32 tahun itu dijangka menandatangani kontrak rasmi selewat-lewatnya pertengahan bulan ini, selepas bersetuju dengan syarat ditetapkan oleh pihak pengurusan.

“Kita berpuas hati dengan prestasi dan sumbangan diberikan oleh Wan Zack Haikal kepada pasukan sepanjang musim ini.

“Kita juga mengharapkan beliau dapat terus mengekalkan prestasi sekali gus menyumbang kepada kejayaan pasukan untuk saingan liga musim depan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Wan Zack dilaporkan ‘dirisik’ beberapa pasukan Liga Super namun beliau menegaskan keutamaannya adalah untuk meneruskan khidmat bersama skuad kendalian Yusri Che Lah itu.

Penyerang kelahiran Maran, Pahang itu telah merekodkan 21 penampilan bersama Perak dan berjaya meledak empat gol, selain mencipta gerakan bagi membolehkan rakan sepasukan menjaringkan gol dalam saingan liga musim ini.

Sementara itu, Bobie Farid berkata semua pemain import Perak FC kekal menabur khidmat bersama pasukan berdasarkan kontrak mereka yang berakhir penghujung musim depan.

Mengulas perancangan Perak untuk musim depan, beliau menjelaskan proses pencarian muka baharu bagi memperkuatkan pasukan akan bermula selepas saingan Liga Super melabuhkan tirai pada pertengahan Disember ini.

“Pada masa ini kita tidak mahu terburu-buru mendapatkan pemain baharu lebih-lebih lagi Liga Super masih berbaki tiga perlawanan.

“Cuma, kita boleh beri jaminan ada pemain yang akan dibawa masuk untuk mengukuhkan lagi keberadaan Perak dalam saingan Liga Super. Itu antara sasaran kita untuk musim depan,” katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan juga berpuas hati dengan pencapaian The Bos Gaurus pada tahun ini dengan menyaksikan Perak FC kekal dalam Liga Super selain berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

— BERNAMA

Leave a Reply